a
ustaz sedang menghalau hantu raya
Sejak dari dulu lagi, kita telah dihidangkan dengan kisah pelbagai jenis hantu antaranya hantu langsuir, hantu galah dan hantu raya. Di bawah ini adalah satu dari sebuah kisah benar mengenai seorang pramugari yang telah ditiduri oleh hantu raya. Sepasukan ahli perubatan Islam hadir untuk membantu membuang gangguan tersebut. Jom baca kisah di bawah ini.
Cuaca pada malam itu agak dingin. Semua penghuni rumah teres dua tingkat di Nilai, Negeri Sembilan itu sudah tidur semasa Keena pulang daripada kerja. Pada masa itu jarum jam menunjukkan pukul 11 malam. Pramugari itu terus ke bilik air untuk membersihkan tubuh setelah 13 jam mengharung penerbangan dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Sedang dia asyik menghayati siraman air suam kuku, tiba-tibapandangan mata Keena terarah kepada sebuah objek yang melekat pada cermin pemisah bilik airnya.Dek terlalu letih, Keena tidak banyak berfikir. Dia menyangkakan objek itu mungkin seekor kelawar yang tersesat ke dalam kamar mandinya. Seketika kemudian objek berwarna hitam itu lenyap.
“Bila diamati betul-betul ia seolah-olah tapak tangan lembaga hitam yang diletakkan pada cermin itu,” tutur Keena, 37.
Putus tunang
Sejak setahun lalu, ibu tunggal itu sudah terbiasa dengan kejadian pelik di rumahnya. Rumah tersebut didiami Keena bersama ibu, adik dan seorang anak lelakinya.
Malah, adik perempuan Keena mendakwa pernah melihat makhluk seakan-akan beruk besar berdiri di atas bumbung rumahnya. Jelas Keena, sejak bercerai dengan suaminya enam tahun lalu, rumah itu tidak lagi tenteram seperti dahulu.
Ada sahaja gangguan misteri berlaku. Daripada bunyi bising hinggalah jelmaan makhluk hitam berbulu yang menemani tidurnya.
“Lampu terpadam tiba-tiba, bunyi orang sedang berjalan dan benda mencakar dinding sudah menjadi perkara biasa buat saya. Kadang-kadang ada bunyi guli melantun di atas siling.
“Semasa tidur pula ada makhluk berbulu hitam pekat sering menindih saya. Apabila dibacakan ayat Kursi dan dilaungkan azan ia akan hilang tetapi akan muncul semula.
SEMASA azan dilaungkan terdapat bunyi seakan-akan almari diketuk.
“Bukan itu sahaja, sejak mengalami gangguan itu, emosi saya selalu tidak stabil. Saya menjadi semakin panas baran dan mudah marah,” jelas Keena dalam nada sugul kepada Jurnal.
Dia tidak sahaja diganggu oleh bunyi-bunyi aneh dan jelmaan makhluk yang menyeramkan, bahkan kehidupan peribadi Keena turut merudum.
Setelah bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang pramugara pada tahun 2006, Keena mengalami banyak kegagalan dalam percintaan.
“Dalam tempoh itu saya sudah bertunang sebanyak tiga kali. Apabila hampir untuk diijabkabulkan, hubungan kami terputus tanpa sebab. Saya baru sahaja putus tunang dengan seorang mualaf.
“Dia tiba-tiba tidak jadi berkahwin dengan saya walaupun hanya tinggal seminggu lagi. Saya bingung, mengapa semua ini berlaku?” kata Keena.
Menyedari keanehan itu, Keena berjumpa ramai pakar perubatan Islam untuk mendapatkan rawatan. Malangnya keanehan berlaku lagi sewaktu dia membawa seorang ustaz ke rumahnya untuk berubat. Dalam perjalanan itu, kereta mereka dihalang oleh seekor ular besar berwarna hitam.
Ular itu bagaikan hendak menghalang ustaz itu daripada tiba ke rumah Keena.
“Sewaktu menjemput seorang ustaz daripada jalan utama ke kawasan rumah saya, konvoi kami dihalang oleh ular itu.
Disetubuhi
“Ular berwarna hitam yang berdiri setinggi kereta itu berada betul-betul di tengah laluan kami sebelum ia tiba-tiba lenyap.
“Anak saya memberitahu bahawa dia seperti sedang menonton rancangan National Geographic secara langsung. Itulah pertama kali saya melihat ular yang begitu besar,” tutur Keena.
Menurut seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafei, Keena sebenarnya menderita akibat disihir dan diganggu hantu raya.
“Makhluk berbulu yang sering dilihat Keena itu kalau di kampung dipanggil hantu raya. Ia dibela sejak zaman-berzaman dan dihantar untuk memecahbelahkan kehidupan orang lain.
“Dalam diri Keena sendiri ada makhluk halus yang bersarang. Kerana itulah emosi dia kerap terganggu kerana terdapat kesan lebam pada tubuhnya,” tutur Shamsuri.
Tambah Shamsuri, lebih teruk apabila makhluk berbulu setinggi manusia biasa itu boleh melakukan persetubuhan dengan mangsa.
“Ada mangsa gangguan hantu raya yang mengaku dia disetubuhi oleh makhluk itu. Biarpun dalam keadaan tidak sedar, tetapi ciri-ciri seperti seseorang yang selesai bersetubuh itu terdapat pada mangsa,” tambah Shamsuri.
Baru-baru ini, Shamsuri melakukan proses menghalau makhluk tersebut dan memagar rumah Keena dengan bacaan ayat-ayat rukyah.
Setiap bilik di rumah Keena dibacakan ayat-ayat suci berserta bacaan doa untuk menghalau makhluk ghaib tersebut. Sebuah bilik di bahagian belakang yang didakwa oleh Shamsuri sebagai tempat hantu raya tersebut duduk dilaungkan dengan alunan azan.
Ketika Shamsuri dan tiga orang pembantunya melaungkan azan secara serentak itu, perhatian Jurnal tertarik oleh bunyi dari sebuah almari.
Bunyi jari telunjuk yang mengetuk pintu almari itu bersahutan sebanyak empat kali sebelum ia berhenti.
Jelas Shamsuri, apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran dan azan, makhluk halus tersebut akan berasa panas dan marah. Seterusnya akan kedengaran bunyi-bunyi seperti mencakar dinding, bunyi cawan dan harimau mengaum.
“Tanda-tanda ini akan berlaku pada waktu malam selepas ia dihalau. Ini bermakna ia tidak akan mengganggu lagi mangsanya,” kata Shamsuri.
Gambar hiasan.. |
0 comments:
Post a Comment